Sunday, March 13, 2011

KINI GILIRAN PR !!!




  1. Sekali ombak memukul pantai, sekali pantai berubah. Trajedi tsunami di Jepun akibat gegaran pada 8.9 skala richter merupakan yang terdahsyat selepas musibah yang melanda Acheh. Bandar Sansei akhirnya ditenggelami. Apabila air semakin surut maka tinggallah sisa-sisa kapal, kereta, rumah dan sebagainya berselerakkan diseluruh pelusuk pekan dan yang memilukan apabila jumlah korbannya pula dikatakan lebih 1000 orang.
  2. Demikianlah keadaanya apabila alam semulajadi mengganas. Sebagaimana perumpamaan tadi, maka lanskap bandar tersebut pun berubah dari sebuah pekan yang tersusun dan damai kepada kerosakkan dan kemusnahan. 
  3. Peristiwa ini mengingatkan kita kepada musibah tsunami yang terjadi pada tahun 2004 yang telah memusnahkan hampir seluruh Banda Acheh dan mengorbankan beratus-ratus ribu nyawa manusia.
  4. 4 tahun selepas kejadian tersebut seluruh rakyat Malaysia dikejutkan pula dengan satu lagi tsunami iaitu tsunami politik yang telah melihat Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan teruk dalam PRU12 dengan kehilangan 5 buah negeri kepada pihak pembangkang.
  5. Sebagaimana hebatnya pukulan ganas alam semulajadi begitu hebat juga pukulan insani! Walau sehebat mana sekalipun sistem yang dicipta bagi memberikan amaran terhadap kemunculan tsunami namun apabila ia hadir tidak ada satu pun benteng yang mampu menahannya dari terus memusnahkan segala kehebatan manusia malah mengorbankan mereka bersamanya. Begitulah hebatnya kejadian Allah SWT.
  6. Begitu juga dengan apa yang berlaku kepada BN. Keselesaan dan kengkuhan pemimpinnya menyebabkan akhirnya mereka tenggelam oleh ombak tsunami. Amaran demi amaran tidak mereka endahkan malah cuba mereka lenyapkan dari muka bumi ini! Maka akhirnya kemusnahan berlaku dan segala hasil dari perjuangan dan pengorbanan menjadi sisa cemuhan dan sumpah seranah rakyat.
  7. Dan PRU12 menjadi ombak tsunami politik yang tidak mungkin dilupakan.
  8. BN sudah belajar dari peristiwa tersebut dan beberapa pendekatan bagi menyerap amaran sudah dan sedang dilaksanakan. Proses transformasi dilihat sebagai pendokong utama sistem tersebut dan gagasan 1Malaysia adalah ukuran keberkesanannya. Mungkin setiap sistem itu tidak 100% sempurna tetapi hasilnya kini mulai kelihatan.
  9. Tetapi dalam apa juga perencanaan, ketentuan Allah mengatasi segalanya. Dalam tempoh tidak sampai 10 tahun sekali lagi manusia diuji dengan musibah tsunami di Jepun. Kini negara termaju didunia dengan segala kecanggihan teknologi pula menerima musibahnya dan sekali lagi ternyata cubaan Allah lebih hebat!
  10. Dalam konteks politik di Malaysia pada hari ini apa yang dapat diperhatikan ialah parti-parti pembangkang atau PR nampaknya begitu alpa dan ghairah dengan mainan dan percaturan politik mereka. Mandat yang diberikan rakyat tidak mereka laksanakan dengan sebaiknya. Malah banyak hak dan kepentingan rakyat dinafikan dek kepentingan nafsu serakah dan syahwat pemimpin mereka!
  11. Mereka seolah-olah lupa akan kewujudan ALLAH SWT dan lupa akan setiap pembalasanNya. Agama diperlakukan secara hina, akhlak mengalahkan manusia fasiq dan munafiq dan tindakan politik mereka sememangnya jijik - caci, fitnah, adu domba, bohong dan sebagainya adalah asas pengukuhan politik mereka dan menganggap segala kemungkaran yang mereka lakukan itu sebagai benar dan perlu dilakukan!
  12. Mereka tidak ubah sebagaimana BN dan Umno sebelum tsunami PRU12. Mereka tidak endahkan tanda-tanda amaran terhadap balasan yang bakal mereka terima. Mereka cuba benamkan tanda-tanda tersebut dengan segala penafian.
  13. Kini gegaran kedua pasti berlaku lagi cuma menantikan saat dan ketikanya dan pastinya juga cukup kuat untuk melenyapkan mereka ibarat kaum Lut yang dihempapkan bumi keatas muka mereka. Gegaran itu pasti tiba kerana petandanya sudahpun berlaku!

No comments:

Post a Comment