Monday, August 8, 2011

Kakitangan Awam Raya Sakan!


  1. Ramadan bulan mulia yang dipenuhi dengan segala rahmat dan kebaikan. Bulan yang menyediakan peluang kepada umatnya untuk melipat-gandakan amalan di samping menghapuskan dosa. Bulan ini menginsafkan kita kepada nasib mereka yang kurang berada dalam menempuh liku-liku kehidupan yang penuh cabaran.
  2. Kepada yang berada, suasana bulan ramadhan pasti berbeza. Hidangan juadah berbuka sentiasa terhidang sememangnya cukup menyelerakan. Tetapi kepada yang kurang bernasib baik, mereka menerima seadanya namun mereka tetap bersyukur dengan apa yang ada.
  3. Pengumuman pemberian bonus RM500.00 kepada kakitangan awam persekutuan sememangnya sesuatu yang amat dinanti-nantikan. Walaupun jumlahnya tidaklah sampai ribuan ringgit tetapi cukup melegakan daripada tak dapat langsung!
  4. Kini hari raya kakitangan awam seramai 1.27 juta orang akan lebih bermakna. Hari raya mereka akan lebih ceria berbanding mereka yang kurang berada atau mereka yang berada dalam sektor swasta dan persendirian.
  5. Oleh itu mereka perlu banyak bersyukur! Bersyukur kerana kerajaan sentiasa mengambilberat hal kebajikan mereka. Walaupun kalau nak diikutkan mereka sememangnya cukup selesa dengan gaji tetap dan segala kemudahan yang disediakan untuk mereka seperti pinjaman, elaun dan sebagainya. Tetapi mereka masih berpeluang mendapat imbuhan tambahan terutamanya ketika saat-saat menyambut lebaran.
  6. Oleh itu mereka sepatutnya membalas jasa baik tersebut dengan komitmen kerja dan sokongan yang tidak berbelah-bahagi. Kerana sikap sentiasa menghargai itu adalah budaya kita dan dituntut oleh agama. Jangan pula kita menggigit tangan yang menyuap kerana itu bukan sifat seorang insan. Jangan kita menjadi duri dalam daging atau api dalam sekam.
  7. Bersyukur dan berterima kasihlah kerana anda masih dihargai. Dan ingatlah bahawa ramai lagi orang diluar sana yang menginginkan peluang seperti anda.
  8. Salam Ramadan al-mubarak dan selamat berpuasa!

1 comment:

  1. Apalah ertinya bonus yang diberikan itu meskipun lebih baik daripada tiada langsung. Rakyat Malaysia, yang majoritinya kini sedang bergelut dengan kehidupan yang dihimpit inflasi seperti berdepan dengan harga rumah, harga kereta dan perbelajaan lain yang mahal. Mereka tak mungkin hidup selesa melainkan golongan yang berada seperti pemimpin politik pemerintah, ahli perniagaan besar atau mereka yang dalam kategori gred 48 ke atas. Bayangkan berapa lama wang RM 500 itu akan berada dalam genggaman para persara?
    Soalanya rakyat berhak dapat hidup lebih selesa dan tak perlu bersyukur dengan bantuan kerajaan kerana itu hak dan tanggungjawab kerajaan memastikan rakyatnya hidup dalam keselesaan apatah lagi negara kita kaya dengan sumber alam. Kenapa pula harus bersyukur? Kita yang menyumbang kepada pembangunan negara tapi tidak diberi habuan yang setaraf dengan kedudukan hasil mahsul negara yang banyak tiris dek korap.

    ReplyDelete