Thursday, October 21, 2010

TAK PERNAH YANG KENA DAN TAK PERNAHNYA CUKUP

1. Bajet 2011 yang telah dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri pada Jumaat yang lalu mendapat pelbagai reaksi, samada positif mahupun negatif. Tetapi yang yang sangat mengujakan ialah perihal bonus! Ramai kakitangan awam yang ternanti-nantikan bilakah agaknya PM akan isytiharkan pemberian bonus ketika pembentangan bajet tempohari.
2. Kini segalanya terjawab. Walaupun dah seminggu berlalu namun masih kedengaran suara-suara yang masih kurang berpuashati dengan jumlah RM500.00 yang diperuntukkan oleh kerajaan sebagai penghargaan kepada segala jasa dan khidmat setia kakitangan awamnya.
3. Baru-baru ini beberapa orang guru yang duduk menikmati minuman pagi masih menyuarakan rasa hati mereka yang agak tidak berapa seronok dengan jumlah yang telah dijanjikan kerajaan. Kerana bagi mereka sekurang-kurangnya dapat sebulan gaji, baru berbaloi.
4. Luahan hati mereka ini ada benarnya kerana, jika benar bagai dikatakan bahawa ekonomi negara semakin kukuh apalah sangat dengan bonus sebulan gaji. Tetapi PM pula kata kalau nak bagi sebulan gaji maka kerajaan terpaksa habiskan hampir RM3.1 bilion, kita nak tanya balik bagaimana pula sumbangan para guru tadi kepada pendidikan anak bangsa kita?
5. Kerana ketika menyampaikan anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 peringkat negeri Perlis, Tan Sri Alimuddin ada menyatakan rasa terkilan beliau dengan sikap guru yang merungut tentang beban tugas mereka yang dianggap "tidak menyeronokkan".
6. Jika luahan rasa Ketua Pengarah Pelajaran ini benar, maka masa depan pelajaran dan pendidikan anak-anak kita amatlah membimbangkan. Jika para guru ini tidak ikhlas menjalankan tanggungjawab mereka, bagaimana pula kualiti pelajaran yang diberikan kepada anak-anak kita. Jika sungguh bagai dikata, rasanya cukuplah dengan RM500.00 bonus tersebut. Bagi banyak-banyak pun buat apa kalau tanggungjawab pun dianggap beban yang tidak menyeronokkan.
7. Jangan pula nak dipersalahkan anak-anak kalau mereka gagal dan tidak berjaya sebagaimana yang diharapkan. Ini kerana orang yang sepatutnya dipertanggungjawabkan pun mengajar separuh hati dan tidak ikhlas.
8. Bolehkah kerajaan mengharapkan orang seperti ini menyokong mereka bila menjelangnya pilihanraya. Tak bagi bonus tak kena, dah dibagi bonus pun masih tak cukup. Boleh kata tak pernah bersyukur dengan apa yang diperolehi mereka. Saya tak bermaksud semua guru dan kakitangan kerajaan tapi tepuk dada tanya selera.
9. Kepada seluruh kakitangan awam, termasuklah guru, imigresen, polis, tentera dan banyak lagi buatlah kerja dengan penuh keikhlasan dan bersyukurlah dengan niakmat yang dikecapi. Ingatlah siapa yang menyuap kita dan jangalah pula jari mereka digigit pula. Rasullullah SAW ada bersabda, "barang siapa yang tidak berterima kasih kepada manusia, dia tidak berterima kasih kepada ALLAH".

No comments:

Post a Comment