Wednesday, October 20, 2010

UMNO MENGGALAS CABARAN

  1. Perhimpunan Agung UMNO 2010 yang baru dirasmikan semalam - sayap Pemuda, Wanita dan Puteri - oleh YAB Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yasin, memberikan mesej yang amat jelas tentang halatuju UMNO dalam menakhodai negara yang bakal menuju negara maju 2020.
  2. Beliau yang berulangkali menyatakan bahawa UMNO tidak harus terlalu apologetik terhadap perjuangan dalam memartabatkan kedudukan Melayu dan agama Islam, seharusnya menjadi  pembakar semangat kepada semua perwakilan sayap.
  3. Ramai yang sedar UMNO yang diwarisi pada hari ini oleh Najib dan Muhyiddin begitu lemah sekali tetapi ianya bukan alasan untuk parti tersebut terus lesu dalam perjuangannya. Apatah lagi terus tergelincir dari asas perjuangan asalnya.
  4. Pemimpin UMNO terutamanya pemuda, mempunyai tanggungjawab yang maha besar dalam memulihkan imej UMNO dikacamata rakyat amnya dan orang Melayu khususnya. Sejarah telah membuktikan bahawa pemimpin-pemimpin pemuda terdahulu seperti Idris Harun yang begitu lantang dan berani mempertahankan kedudukkan orang Melayu.
  5. Begitu juga dengan pemimpin-pemimpin pemuda yang lain yang terdahulu mereka tidak lekas menjadi apologetik biar apa sekalipun dalam apa keadaan sekalipun samada tekanan mahupun desakan.
  6. Bukanlah niat kita hendak menzalimi sesiapa tetapi orang-orang yang cuba merosakkan sistem kehidupan yang telah diterimapakai selama ini tidak boleh dibiarkan rosak. Permuafakatan dan jalinan kerjasama yang telah wujud sekian lama dan telah menzahirkan kemakmuran di negara bertuah ini seharusnya tidak diwarnai dengan pelbagai rungutan dan pertikaian yang meresahkan.
  7. Oleh yang demikian, ingatan oleh Timbalan Presiden tersebut seharusnya dijadikan panduan berguna kepada pimpinan pemuda khususnya dalam menggalas amanah bagi memastikan bahawa perjuangan UMNO berkelangsungan dan seterusnya nasib dan masa depan agama Islam, Melayu dan negara ini akan terus dimartabatkan.
  8. Kini masa depan Melayu ditangan anda. UMNO harus segera bangkit menjadi pembelanya. UMNO adalah satu-satunya parti Melayu yang dilihat oleh rakyat di negara ini yang masih relevan sedangkan yang lainnya, PAS dan PKR sudah rosak roh perjuangannya. Namun begitu UMNO harus berani bertindak.
  9. Bagi mendepani PRU13 kelak, pemilihan yang bijak iaitu calon yang diyakini boleh memberikan kemenangan perlu menjadi keutamaan. UMNO perlu berani membuat perubahan sesuai dengan motto menjana transformasinya. UMNO harus menerima hakikat bahawa banyak muka-muka lama yang perlu digantikan! Demi kelangsungan perjuangan parti.
  10. Jika benar UMNO tidak perlu terlalu apologetik, maka ianya perlu bermula disini dan bukan sahaja kepada orang lain tetapi juga kepada muka-muka lama yang sudah tidak laku lagi pun kita tidak perlu apologetik sebab masa semakin suntuk dan perubahan semakin mendesak. 

No comments:

Post a Comment